Baru² Ini Wanita Ini Jadi VIRAL Kerana Mencari Lelaki Yg Menolongnya. Kini Lelaki Itu Sudah Dijumpai.

| January 29, 2018 | 0 Comments

Baru² Ini Wanita Ini Jadi VIRAL Kerana Mencari Lelaki Yg Menolongnya. Kini Lelaki Itu Sudah Dijumpai.| MYISLAM INFO – “SEBAIK bertentang mata dengan dia, saya sebak dan menangis kerana dialah orang yang saya cari selama ini, yang sanggup membantu menolak kereta saya yang rosak ketika hujan lebat, Isnin minggu lalu,” kata Azliza Othman.

Kisah Azliza dilaporkan Harian Metro pada 24 Januari lalu selepas dia memuat naik status Facebook untuk mencari lelaki berusia 40-an yang sanggup menolak keretanya ketika hujan lebat sehingga ramai netizen salah faham dan mengecam tindakannya itu.

Menurutnya, selepas lima hari mencari, akhirnya dia berjaya mengesan lelaki terbabit, Kamalruzaman Ahmad, 43, sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita.

Katanya, wanita itu yang enggan dikenali memberitahu tempat Kamarulzaman bekerja iaitu di kedai buku di Pekan Jitra.

“Mulanya saya berasa ragu-ragu untuk pergi ke situ, namun disebabkan semangat untuk bertemu orang yang membantu, saya nekad untuk pergi ke kedai buku berkenaan tengah hari tadi untuk mendapatkan kepastian.

“Sewaktu bertemu dengannya, dia memberitahu ada terbaca kisah saya tular di laman sosial namun dia tidak mengesyaki apa-apa kerana kejadian itu bukan di Batu 17 seperti yang saya nyatakan, sebaliknya di Padang Perahu, Jitra.

“Apabila saya beritahu yang dia adalah orang yang saya cari, dia hanya senyum dan saya kemudian mengotakan janji dengan memberinya wang sagu hati sebagai ganjaran kerana membantu saya tempoh hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Azliza yang juga pembantu klinik berkata, dia sangat terhutang budi dengan lelaki itu kerana sanggup berpatah balik membantunya dalam keadaan hujan lebat semata-mata untuk menolak Perodua Kancil miliknya yang rosak.

Katanya, ketika itu keretanya berada di tengah jalan di belakang treler dan sebaik menyedari kehadiran motosikal dinaiki Kamalruzaman, dia terus menahan motosikal itu.

“Saya tak sangka dia sanggup berpatah balik, betapa besarnya pengorbanannya ketika itu walaupun dia langsung tak kenal saya.

“Selepas bertemunya hampir 20 minit, saya sudah cukup puas hati dan dia beritahu pada saya yang dia mempunyai isteri dan empat orang anak,” katanya.

Azliza berkata, sejak kisahnya disiarkan dalam akhbar ini, ramai yang cuba menghubunginya termasuk menghantar pesanan melalui Whatsapp dan memberi laporan palsu selain meminta ganjaran yang dijanjikan untuk memberi maklumat mengenai lelaki itu.

Katanya, semua maklumat yang diberikan itu tidak tepat menyebabkan dia hampir berputus asa sehinggalah dia menerima panggilan daripada wanita itu, semalam.

“Tanpa fikir panjang, saya terus mencari orang yang sangat mulia itu dan dari riak wajahnya, dia seorang yang sangat baik dan lurus,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pembantu klinik di Jitra cuba menjejaki individu yang membantu menolak keretanya ketika hujan lebat.

Usahanya mula mendapat perhatian sebaik dia memuat naik status Facebook bagi mencari individu berkenaan, tular.

Azliza berkata, tujuan dia memuat naik status berkenaan bukan untuk mencari cinta tetapi kerana terhutang nyawa dengan usaha lelaki itu yang sanggup berhenti membantunya ketika kereta yang dipandunya berhenti di lorong kanan jalan Batu 17 berhadapan Masjid Baru Padang Perahu, Jitra ketika dalam perjalanan ke Perlis Isnin lalu.

Kredit : My Islam Info. Via – MyMetro.

BERITA TERDAHULU.

“SAYA mohon lelaki itu hubungi saya segera. Jika dia sudah berkahwin, saya sanggup menyara barangan dapur dan wang bulanan untuk anak isterinya. Saya sudah terhutang nyawa dengan lelaki itu.”

Demikian pengakuan ikhlas pembantu klinik di Jitra, Azliza Othman, 33, selepas status Facebook (FB) menjadi tular untuk menjejaki individu yang membantu menolak keretanya ketika hujan lebat, Isnin lalu.

Azliza berkata, tujuan dia memuat naik status itu bukan untuk mencari cinta tetapi kerana terhutang nyawa dengan lelaki itu yang sanggup berhenti membantunya ketika kereta dipandu terhenti di lorong kanan Jalan Batu 17 berhadapan Masjid Baru Padang Perahu, Jitra, Kedah, ketika dalam perjalanan ke Perlis, Isnin lalu.

“Kejadian kira-kira 5 petang, jalan dilalui dilanda banjir kilat menyebabkan kereta saya terhenti di lorong kanan dan kemudian melintang di tengah berdekatan selekoh berbahaya.

“Saya ketakutan ketika itu bimbang dilanggar oleh kereta atau lori, dan tiada sesiapa pun membantu saya ketika itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun itu berkata, dia ternampak seorang lelaki menunggang motosikal sebelum melambai lelaki berkenaan dari dalam kereta.

“Lelaki dianggarkan berusia 40-an itu berpatah balik dan membantu menolak kereta saya ke tepi jalan manakala saya berada dalam kereta untuk mengawal stereng.

“Selepas itu, seorang rakan saya yang melalui kawasan berkenaan datang dan bersembang sebelum lelaki itu hilang secara tiba-tiba, tanpa sempat saya mengucapkan terima kasih atas bantuannya yang sanggup menggadai nyawa meredah jalan raya,” katanya.

Dia yang juga juru mekap sambilan berkata, dia tahu lelaki berkenaan memerlukan bantuan kewangan melihatkan pakaian dan motosikal ditunggangnya.

“Saya berniat baik untuk membantu lelaki berkenaan sebagai membalas jasa kerana sanggup membantu saya.

“Bayangkan, ketika kejadian tiada seorang pun yang sudi membantu saya, jika lelaki berkenaan tidak membantu kemungkinan saya sudah hilang nyawa akibat dilanggar kenderaan lain di lorong kanan” katanya.

Azliza berkata, ramai netizen yang salah faham maksud statusnya kononnya untuk mencari lelaki berkenaan untuk ‘menggatal’ sedangkan niatnya hanya untuk membalas jasa.

“Ramai yang menghantar mesej kepada saya mengaku sebagai lelaki itu, namun saya dapat kenal pasti muka lelaki yang membantu saya dan tolong jangan menyamar.

“Apa dikesalkan, saya tidak sempat mengambil nombor pendaftaran motosikal lelaki itu untuk memudahkan pencarian dan berharap usaha menjejaki lelaki ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, tular di FB status Azliza yang merayu lelaki berkenaan menghubunginya segera sehingga tidak lena tidur terfikir mengenai kebaikan lelaki itu.

Kredit : MyMetro.

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , ,

Category: SOSIAL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *