“Nur Aina, Kau Sentiasa Dirindui”. Rakan Baik Luah Rasa Rindu Yang Buat Ramai SEBAK.

| February 4, 2018 | 0 Comments

“Nur Aina, Kau Sentiasa Dirindui”. Rakan Baik Luah Rasa Rindu Yang Buat Ramai SEBAK. | MYISLAM INFO – “SETIAP hari bersekolah, Aina akan menemani saya ke mana saja, malah kami saling membantu dalam pelajaran. Apabila dia sudah tiada, hidup saya terasa kosong.”

 

 

Begitu kata Putri Aine Sofhylea Mohd Shahjehan, 9, rakan sekelas kepada Allahyarham Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah yang meninggal dunia pada Khamis lalu akibat didera di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

 

Putri Aine berkata, dia yang datang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, di sini, Jumaat lalu diberitahu guru, rakan baiknya sudah meninggal dunia.

 

“Saya sedih, sebak dan hanya mampu menangis. Sepanjang tiga tahun kami sekelas, dia adalah kawan baik dan duduk bersebelahan,” katanya ditemui di rumahnya di Bandar Springhill, hari ini.

 

Menurutnya, dia tidak dapat memberi tumpuan ketika guru mengajar berikutan teringat pada Nur Aina dan hanya memandang tempat duduknya.

 

“Kali terakhir saya bertemu arwah adalah Isnin minggu lalu dan selepas itu dia tidak datang ke sekolah. Ketika waktu rehat itu, arwah seperti mahu mengadu sesuatu namun perkataan itu tidak terucap,” katanya.

 

Katanya, Nur Aina juga kerap memegang tangannya, namun dia hanya mendiamkan diri apabila ditanya.

 

“Saya memandang wajah Nur Aina dan dia kelihatan begitu takut. Sebelum pulang dari sekolah, dia memeluk erat saya dan menangis sekuat hati,” katanya mengalirkan air mata.

 

 

Katanya, dia tidak menyangka rakan baiknya meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan apabila didera bapanya.

 

“Biarpun kami tinggal di kawasan berdekatan, namun selepas waktu sekolah kami tidak pernah bertemu untuk beriadah. Nur Aina ada beritahu dia tidak boleh keluar kerana perlu berada di rumah,” katanya.

 

Menurut Putri Aine, arwah seorang anak yang baik kerana tidak bercerita buruk mengenai keluarganya, malah dia hanya memberitahu terjatuh apabila ditanya kesan lebam pada mukanya.

 

“Saya kehilangan kawan sangat baik, malah semua rakan sekelas sedih. Kalau boleh saya tak mahu ada murid lain duduk di sebelah saya kerana meja dan kerusi ini milik Nur Aina,” katanya.

 

Sementara itu, ibu Putri Aine iaitu Fazidah Mat Saad, 42, berkata selepas kematian Nur Aina, anaknya setiap hari menangis termasuk waktu malam berikutan terlalu merindui sahabatnya itu.

 

Kredit : MyMetro

 

 

BERITA KES DI ATAS

 

BUDAK perempuan maut dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya di rumah mereka di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.

 

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya pada 11.30 malam.

 

“Lelaki berusia 38 tahun cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya. Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.

 

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 12.30 tengah malam, malah pemeriksaan menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat dan keputusan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada organ dalaman.

 

“Bedah siasat mendapati buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya.

 

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, suspek ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJ hari ini dan akan mendapatkan perintah reman di mahkamah, esok.

 

Zainudin berkata, sebelum ini bapa kandung mangsa pernah ditahan atas kesalahan sama pada Jun tahun lalu, susulan laporan yang dibuat bekas isteri yang melihat kesan lebam ketika mengambil anaknya daripada jagaan lelaki itu.

 

“Kes terbabit dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dibebaskan atas alasan ingin mendidik mangsa,” katanya.

 

Kredit: Metro

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *